Sudah jatuh ditimpa tangga berkali-kali - Beritahu

Informasi segenap lapisan

Sudah jatuh ditimpa tangga berkali-kali

Sudah jatuh ditimpa tangga berkali-kali

Aku masih lagi teringat kenangan semalam. Semalam yang belum tentu dapat kulalui lagi. Sebut saja pasal semalam, selama-lamanya akan tetap kuingat hingga kelupaanku nanti. Apabila teringat tentang sesuatu yang manis seperti manisnya cinta, selama-lamanya kita akan ingat. Kerana memang semua yang manis itu adalah kegemaran ramai secara semula jadi. Ada yang tidak suka manis sebab pernah merasai kemanisannya sehingga lemak naik ke badan. Kira macam kena penyakit lima beradik, terus insaf asal usul kejadian ini. Penyakit lima beradik sangat tersohor dikalangan rakyat Malaysia, ada yang kena potong kaki dan ada yang tak sempat mengucap kerana nyawa telah dicabut Izrail. Jadi sebelum perkara sedemikian terus menghantui kita, baiklah kita ingat sentiasa menjaga dan mengawal nafsu makan agar tidak keterlaluan sehingga menyebabkan obesiti yang melampau.

Sememangnya manisnya cinta tidak semestinya kisah dua insan bercinta dan bukan kerana aku berjaya menambat hati Fazura dalam filem Manisnya Cinta tetapi manisnya cinta ini kerana baru semalam aku mengerti erti cinta yang sebenar-benarnya cinta iaitu cinta hakiki. Sebab cintaiNya adalah kemanisan nikmat yang tidak dapat disamakan dengan apa jua sekalipun di dunia yang akan fana ini.

Pernah aku merasai kenangan terindah sebelum semalam tetapi sudah tidak ingat, kiranya semalam itulah kenangan terindah dalam hidupku. Kalau ku katakan aku bercinta lainlah kisahnya tetapi semalam semacam memori yang sukar luput dari ingatan

Seperti biasa aku akan ke pasar membeli barang basah untuk dibuat hidangan tengah hari. Aku pergi sentiasa seorang diri kerana tiada berteman. Kereta adalah isteri dan teman setiaku. Ke mana sahaja aku hendak pergi, sentiasa ia menemaniku. Janji jaga minyak M dan servis selalu, pasti dia gembira bersamaku. 



Selepas ke pasar aku akan terus ke hospital, ada temu janji dengan doktor. Sebelum ini aku pernah buat temu janji dengan doktor tetapi beliau suruh aku benar-benar bersedia baru boleh buat pemeriksaan tahap kolesterol badan. Maklumlah umur dah semakin senja tapi tidak pernah makan apa-apa ubat lagi, Alhamdulillah bersyukur pada Ilahi. Tetapi kita dinasihati untuk sentiasa membuat pemeriksaan doktor dua kali setahun untuk memastikan tahap kesihatan kita berada seiring dengan umur kita.

Seperti disyaratkan oleh doktor, aku mesti berpuasa semalaman. Puasa bermula jam 7.00 petang sehingga ke esok paginya. Ini untuk memastikan kilang perut tidak memproses makanan. Jadi apabila badan dalam keadaan rehat, barulah boleh diketahui tahap kesihatan kita yang sebenarnya. 

Pagi itu Doktor Norashiqin menanti kehadiranku tepat jam 8.10 pagi. Aku sampai 8.15, lewat 5 minit, tapi doktor tetap tersenyum menunggu ku dikamarnya. Dia menyuruh aku buat pemeriksaan darah di makmal darah. Aku ingat bila jumpa doktor terus boleh tahu resultnya tapi sebenarnya rumit kerana terpaksa melalui prosedur-prosedur pemeriksaan secara berasingan. Doktor suruh aku ke bahagian mata, gigi dan dada. Ku sangkakan dapatlah duduk berborak lama dengan doktor, rupanya kena bergerak ke sana ke mari untuk buat pemeriksaan berasingan tersebut, em alahai.


Setelah selesai semua pemeriksaan, aku bergegas ke bilik Doktor Norashiqin dengan membawa sekeping dua fail atau dokumen yang telah dikepilkan tadi. Dipendekkan cerita doktor tiada, ada hal kecemasan di wad kecemasan, sekali lagi aku frustrated. Jadi aku disuruh balik oleh pembantu perubatan kerana keputusan hanya boleh diketahui seminggu kemudian. Sudahlah tak dapat jumpa doktor, keputusan kesihatan lambat keluar pula. 

Semasa dalam perjalanan balik, aku bersungul sendirian mengingatkan hal tadi. Sambil perut lapar menahan cobaan, aku pun bergerak singgah ke kedai makan Pak Mat Tempe untuk bersarapan. Sesampai saja di warung berkenaan, aku terus membuat tempahan.

"Pak Mat, dua roti banjir kilat kuah campur dan teh tarik satu", aku buat order.



Sambil kecewa aku pun capai suratkhabar Metro. Ku belek-belek kisah semalam. Sudah menjadi resam, aku akan mula membaca dari belakang ke depan, macam baca suratkhabar jawi lah katakan. Tiada berita yang menarik sangat, semua menakutkan. Maklumlah tajuk-tajuk di Metro ni sangat menarik minat dan ada juga yang menakutkan. Biasalah, kalau tidak takkan pembacanya telah mencecah seramai 1 juta di seluruh Malaysia.

Kisah banjir di Pantai Timur banyak mewarnai suratkhabar hari ni termasuklah perlawanan akhir bolasepak Piala AFF Suzuki 2014 yang akan berlangsung malam ni, Malaysia bertemu Thailand. Semuanya menarik minatku tapi aku masih bersungul lagi. Mana taknya hari ini serba tak kena sahaja bagiku, kebiasaannya cepat saja order ku sampai tapi kali ni bayang-bayang roti canai pun tak nampak. Ku tanya Pak Mat, dengan mudahnya dia jawab "Maafle, roti dah habis, mee rebus ada lagi ni".

Geram aku dibuatnya, 10 minit menunggu, roti dah habis, nape tak cakap awal-awal?? Dah le bayang roti takde, air teh pun tak nampak muka, aduyai. Aku tanya dia pasal air, dia minta maaf kali kedua sebab terlupa, duk tanya balik, bertambah geram dibuatnya. Apa lagi aku pun beredar terus dari situ. Entah kenapa hari ni serba tak kena.


Sambil bersungul lagi aku terus memacu laju kereta Mercedes (viva forever je). Sepintas kelajuan MH370 yang terus menghilangkan diri dari kawalan radar kedai makan Pak Mat Tempe tadi. Aku on radio layan lagu rancak. Puas kupulas radio, akhirnya siaran radio tamil yang menjadi pilihan, ku tekan tinggi suara melayan tabla lagu rancak tamil yang tak henti-henti berkumandang meredakan kemarahanku kat Pak Mat Tempe tadi.

Dalam perjalananku, deringan smartphone berbunyi. Aku angkat, duk helo siapa di sana. Sambil memandu, lebih kurang 10 kali tanya siapa, langsung tidak berjawab, akhirnya ku letak semula smartphone dengan hati sentiasa berprasangka baik. "silap nombor kot".

Tidak sampai seminit, berdering lagi, aku memandu dan menggunakan hands free call untuk bercakap. Rupanya peguamku menelefon. Bila kutanya kenapa senyap tadi, dia dengan sedih cakap "kita dah kalah kes". Adoi lain yang ditanya, lain yang dijawab. Tapi jawapannya tadi benar-benar mengguris dan mengecewakanku. 

Sudah jatuh ditimpa tangga

Ye aku kalah kes insurans yang melibatkan kemalangan kereta dengan motorsikal. Kereta pertamaku, Toyota Vios remuk terlanggar tiang untuk mengelak daripada melanggar sebuah motorsikal yang tiba-tiba memotong keretaku lima bulan lepas. Alhamdulillah, aku selamat tapi melayang RM10 000 terpaksa bayar kos rawatan luka penunggang motorsikal yang terlibat dengan kemalangan dan kerosakan kenderaannya serta guaman. Malas nak cerita panjang, pendek kata aku dah kalah kes, itu sahaja.


Sesampai di rumah aku terus ke dapur. Seperti biasa aku akan bagi kucingku makan Friskies, tetapi puas kupanggil si Comot Parsi tapi tidak kunjung tiba. Takpalah nanti datanglah tu. 

kata-kata semangat harimau malaya

Dipendekkan cerita aku pun menunggu waktu malam dengan penuh tekun, menunggu siaran langsung perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di antara Harimau Malaya menentang Thailand. Memang bersemangat tinggi dan berselera tapi kali ni tiada Maggi. Aku duduk mengadap tv plasma Samsung dengan kacang Ngan Yin sahaja. Aku berprasangka baik sehingga minit-minit akhir perlawanan. kira-kira beberapa minit nak tamat perlawanan, aku sendiri tamatkan siaran tv tersebut, kecewa. Memang kecewa sebab kalah seperti episod lepas yang sama semasa dalam kumpulan lagi, last minute goal Thailand melenyapkan harapan Malaysia untuk menjuarai Piala AFF Suzuki 2014. Malaysia menang malam tu tapi tewas secara agregat. Malaysia menang ke atas Thailand 3-2 tapi kalah agregat 3-4, em alahai.

Sudah jatuh ditimpa tangga


Aku tak buang masa malam ni sebab nak tidur awal untuk hilangkan rasa gundah-gulana seharian. Hari ini sungguh hambar dan banyak perkara mengecewakanku. Seperti biasa sebelum tidur, aku akan buat pemeriksaan keliling rumah, depan belakang untuk memastikan semuanya dalam keadaan selamat. Sewaktu aku keluar ke halaman rumah untuk mengunci pintu pagar, tiba-tiba aku ternampak benda diantara celah-celah pasu bunga rumahku. Aku pun bergegaslah. Sesampai sahaja di situ, apa lagi nak meraung dibuatnya apabila kucing kesayanganku Si Comot Parsi mati dihempap pasu bunga. Meraung dan mengalir airmataku bercucuran di atas bulu kucing kesayanganku selama ini. Patutlah Friskies tidak dijamah, rupa-rupanya dia pergi meninggalkanku selama-lamanya, sedih aku malam tu. Semua serba tak kena

Sudah jatuh ditimpa tangga

Malam yang kujanji untuk pejamkan mata lebih awal tak dapatku lelapkan. Niatku untuk tidur awal disebabkan kekecewaan berita hari ini, telah bertukar menjadi lebih parah lagi, aku meraung keseorangan sampailah tertidur. Itulah kisah manisnya cintaku yang berakhir sebaliknya.

0 Komentar untuk "Sudah jatuh ditimpa tangga berkali-kali"


Back To Top