Seharian ini aku menggeleng kepala tidak henti-henti. Aku bukannya gila atau berkhayal makan pil kuda. Aku tahu semua itu mendatangkan kemudaratan kepada diriku sendiri, 'jemuih' aku menelan barang haram tu dan buat perkara sia-sia di dunia ini.
Seawal 7 pagi aku keluar rumah sehingga sesampai rumah panjangnya matahari tinggi segalah. Semuanya mengingatkan aku tentang apa yang ku dengar dan ku lihat seharian ini. Bila kepala yang waras tidak digunakan dengan betul, maka jadilah kita seperti orang gila. Malahan boleh menjatuhkan martabat kita jauh ke gaung.
Kalau difikirkan apa yang terjadi tadi dah tentu ada orang mengatakan' "Hang letak mana kepala hang? Kat kepala lutut ka?".
Kepala lutut pun ada fungsinya. Semua anggota badan kita ada kepentingan dan fungsinya masing-masing. Yang jadi masalah, apabila kita tidak mampu menggunakannya akal dengan cara yang betul dan sepatutnya. Bagaimana nak buat air kopi yang sedap? Pertama sekali masukkan air panas atau air suam ke dalam cawan, kemudian dimasukkan secamca dua serbuk kopi dan diikuti gula yang secukupnya dan dikacau sehingga sebati, betul tak? Jadi bila orang lain order air kopi di warung pak mat tempe, dah tentu dia mengidamkan air kopi yang manis serba-serbi dengan rasa dan rupanya yang sepatutnya. So pernah tak dengar orang order air kopi pedas atau masam? Setahu aku kopi susah nak masam, esok pun boleh minum lagi. Steady jer P.Ramlee minum air kopi semalam dalam Cerita Masam-Masam Manis.
Kejadian hari ini benar-benar memberi tamparan kepadaku. Sebab apa kena tampar? Kerana masih ada lagi sikap manusia sebegini di dunia sekarang ini. Memanglah manusia ini dilahirkan dengan penuh kelemahan, apabila kita menunjukkan kepada orang yang kita sangat kuat, sebenarnya kita benar-benar lemah. Kekuatan yang ditunjukkan adalah merupakan kelemahan kita yang sebenarnya. Jadi untuk menjadi manusia yang kuat haruslah difikirkan caranya agar kita tidak dijadikan bahan jenaka masyarakat setempat.
Panjang betul mukadimmah aku hari ini. Cerita belum lagi, tulis induksi berjelar panjangnya. Jangan pernah bosan membacanya kerana kisah dan teladan ini sebagai ingatan kepada kita semua untuk dijadikan sempadan agar ia benar-benar menjadi pengajaran kepada kita selama-lamanya.
Seawal pagi aku ke pasar. Pasar besar di pekan. Sememang Melayu, India Cina memang ramai. Ada perniaga dan ada pembeli. Barulah meriah. Semeriah raya sakan di pasaraya lelong. Seperti biasa aku akan membeli barang basah terlebih dahulu. Ikan, ayam, sotong atau kerang menjadi barang mentah antara pilihan ramai temasuklah aku. Jadi hari ini aku nak buat resepi tomyam kerang cicah sos sengkuang dan nasi goreng malas. Biasalah orang bujang, resepi masak mudah sahaja. Terkejut juga bila tengok harga kerang hari ini. Berapa agak-agaknya? RM3.50 sekilogram. Baru akhir tahun lepas aku beli kerang dengan harganya antara RM2.00 hingga ke RM2.50. Dalam setahun naik RM1.00 lagi. Em alahai, maklumlah kita ke arah negara maju jadi semuanya kena naik. Yang aku tak puas hati dengan peniaga kerang ni, kita tidak boleh memilih kerang sendiri. Sekadar bagitau nak berapa kilo kerang sahaja. Peniaga pandai, di bahagian depan letak kerang besar-besar, tapi dia kaut kerang kecil-kecil, mana tak hangin dibuatnya. Lepas bayar, aku pun bergegas pergi ke bahagian barang runcit. Macam biasa beli sedikit halia, serai, kunyit dan lain-lain lagi (rahsia resepi tomyam, nanti bagitau). Memang semua harga naik. Belum GST lagi dah naik. Kalau dah GST nanti, entahle.
Seterusnya aku akan ke bahagian sayur. Sayur untuk resepi buat tomyam antaranya, lobak merah, daun limau purut dan lain-lain. Bahagian sayur ni biasanya sunyi sikit. Tetapi penjualnya ramai. Aku pergi awal pagi, jadi kerancakan belum nampak lagi, biasanya peniaga-peniaga kantin, restoran yang ramai datang beli.
Bahagian sayur padat dengan peniaga. Disebabkan tempat yang sesak dengan peniaga, maka tapak sewa meja peniaga terhad. Semangat berniaga orang kita harus dipuji. Ada peniaga yang merayu untuk meniaga walau tiada meja, asal boleh bentang kain atau meniaga di kaki lima pun jadilah. Kesian juga, ramai peniaga yang tiada meja, terpaksa meniaga di atas lantai beralaskan kain. Barang-barang jualan disusun kemas di atas lantai dan menarik. Dari satu kedai ke satu kedai kulewati, namun untuk mencari sejenis daun ini sangat susah. Akhir sekali aku temui juga. Apa lagi gembira tak terkata le, Alhamdulillah.
Semasa aku sedang berurusan dengan peniaga daun ni, tiba-tiba salah seorang peniaga di situ mengamuk. Tak semena-mena pelanggan yang sedang berurusan dengannya berlalu pergi dari situ dengan selamba dan celoteh yang tidak kudengari. Peniaga tersebut bising-bising tak tentu hala. Naik angin dibuatnya. Dia membebel tidak henti-henti. Rakan-rakan peniaga lain menyibukkan diri, sibuk bertanya. Aku langsung tidak mendengari perbualan mereka yang tenggelam timbul. Prasangka aku baik kepada pelanggan yang berlalu pergi tadi. Waktu itu slogan customer always right terngia-ngia di mindaku. Aku ingat benar-benar kejadian itu menyebelahi kepada pelanggan tersebut. Pelanggan lelaki yang separuh abad tadi berlalu dengan selambanya. Maka kufikirkan biasalah pelanggan tawar menawar takkan panas kot?
Em alahai prasangka ku benar-benar merosot di atas kejadian yang menimpa peniaga tadi. Aku tahu pun selepas keadaan reda. Aku pergi tanya salah seorang informer, sibuk menanyakan apa yang berlaku tadi. Mengikutnya, seorang pelanggan lelaki separuh abad datang ke bangsarnya untuk membeli bunga kantan katanya. Kebiasaaannya peniaga akan duduk sahaja di atas lantai kerana penat jugak berdiri lama. Jadi pelanggan tersebut dengan selamba ingin membeli bunga kantan tapi tak ingat nama bunga kantan itu. Lalu dia bertanya berapa harga benda ni? Apa lagi naik angin peniaga tersebut. Kenapa pula naik hangin? Dah tentu naik hangin apabila dia bertanyakan barang dimintanya itu dengan menggunakan hujung kaki!!! Aku pun boleh naik angin jugak oo. Ye dia tunjuk barang diminta di atas lantai tersebut dengan kaki.
Patutlah semua peniaga sehati sejiwa dengan keputusan peniaga tadi. Aku ingat kalau sikit jam lagi dia berdiri di situ dah tentu kena pukul dengan semua peniaga di Malaysia ni. Dengan aku-aku pergi pukul dia sekali.
Nampak tak apa yang berlaku tadi, benar-benar memberi pengajaran kepadaku sebagai pembeli. Jadilah seorang pembeli yang berhemah bukannya mazmumah. Sepanjang perjalanan balik ke rumah, di mindaku masih terngia-ngia lagi peristiwa tadi. Aku benar-benar simpati apabila memikirkan peristiwa tersebut. Bayangkanlah kalau kita berada di tempat peniaga tersebut, apa perasaan kita kalau diperlakukan sedemikian? Sudah tentu kita akan marah juga. Jadi marilah kita kembali mengingati kejadian kita dan berjanji untuk menjaga hubungan baik sesama kita tidak kira siapa kita, kita tetap menyayangi sesama manusia kerana kain yang kita pakai bila mati nanti adalah sama, tiada kain sutera dan emas dibawa bersama selain kapan putih semata-mata. Allahu'alam.
0 Komentar untuk "Istiqamah mengajar manusia berfikir"