Kopiah buruk bersulam sutera - Beritahu

Informasi segenap lapisan

Kopiah buruk bersulam sutera


Kebiasaannya pagi ini aku akan ke kedai kopi di bandar untuk menikmati secawan kopi dan sekeping roti canai campur kuah parpu dan sambal ikan bilis. Namun, hujan pagi telah membantut niatku. Sambil merenung jendela, aku teringat kisah dulu-dulu menyingkap kenangan lalu nostalgia zaman kanak-kanak. Sewaktu kecil, arwah ayahku selalu membawa aku makan ke kedai roti canai mamak yang terletak di depan padang bola sepak yang sangat luas. Waktu itu harga sekeping roti canai RM0.30. Rasanya memang sedap. Sudah menjadi perkara wajib, tiap kali balik dari sekolah, ayah selalu membawa aku makan roti canai sebelum pulang ke rumah. Namun semuanya tinggal kenangan, padang bola yang kupuja-puja selama ini sebagai tempat main bola dan jogging kini sudah didirikan bangunan-bangunan kedai dan dewan yang tersergam indah.



Cepatnya masa berlalu, andai dapatku undur masa seronoknya rasa. Zaman kanak-kanak yang sangat menggembirakan. Tiada masalah negara yang perlu difikirkan. Tidak perlu mencari duit untuk menyara hidup dan tidak perlu  memikirkan tanggungjawab besar yang menguji kesabaran. Seandainya kita tidak menjadi dewasa, apa akan jadi dunia ini? Sebab itulah bila fikir semula, setiap perjalanan hidup kita, hendaklah kita lalui dengan penuh sabar dan tenang. Kerana setiap masa, sentiasa ada ujian. Bukanlah peperiksaan formal seperti dalam dewan peperiksaan, tolong diam, peperiksaan sedang dijalankan. Tapi peperiksaan ini adalah ujian Allah atau Sunnatullah yang wajib kita lalui kerana ia adalah ujian sebenar menguji kita sejauh mana ingat dan cinta kepada Allah dan Rasul.. 


Aku dilahirkan dalam keluarga susah. Namun aku tetap bersyukur dengan pemberianNya. Ini Sunnatullah. Sejak kecil aku telah diuji olehNya dengan kehilangan orang tercinta. Ibu pergi selama-lamanya semasa adik masih dalam susuannya lagi. Ayah tempat pergantungan kami. Ayah kerja sebagai jaga. Gaji pengawal keselamatan sekitar RM120 sebulan, memang tak cukup  namun kami sentiasa faham. Walaupun disuruh berkahwin lagi tapi ayah tetap menolak keinginannya kerana takut belaian ibu tiri hanya indah khabar dari rupa. Lalu ayah bertekad untuk tidak berkahwin lagi. Dialah ayah dan dialah ibu. Kami faham keadaan ayah yang bekerja ikut syif. Jadi alah bisa tegal biasa, kami berlima tidur sendirian sekali-sekala kerana ayah kerja syif malam hingga ke pagi.



Waktu itu aku baru berumur 10 tahun. Aku tabik kakak yang selalu memberi semangat kepada kami semua. Tiap kali adik menangis mengingati arwah ibu, kakak sentiasa memberi kata perangsang untuk kami terus hidup. Pernah aku melihat dia menangis sendirian. Menangis mengenangkan ibu. Aku pun pernah mendengar kakak merintih selepas solat, " Ya Allah ampunkanlah ibu. Masukkan ibuku ke syurgaMu. Semoga ibu bahagia di sana". Aku sendiri tidak dapat menahan air mata kerana kecekalan dan ketabahan hati kakak telah menjadikannya seorang wanita yang matang walaupun pada waktu itu umurnya baru 12 tahun. 


Masa terus berlalu, zaman kanak-kanak kutinggal dengan seribu satu kenangan. Aku tidak ingat sebanyak mana manis dan pahitnya kerana aku memang tidak mahu mengingatinya pun. Namun ia tetap menjadi satu titik permulaan untuk aku terus mengorak langkah memajukan diri dan keluarga. Walaupun hidupku susah, tapi aku tidak suka membuang masa. Pagi petang siang malam sentiasa ada sahaja perkara yang bermanafaat ku lakukan. Aku mahu ikut resam padi, lagi tunduk lagi berisi. Jadi biarlah kopiah buruk, baju lusuh dan kasut koyak sekalipun, yang penting aku sentiasa utamakan pelajaran. Rutinnya setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, memang tidak pernah mengecewakan. 


Aku tidak pernah lokek dan ingin kejayaan dikongsi bersama. Walau tidak semua adik-adik segirang atau bersemangat sepertiku, namun aku tetap memberi perhatian kepada mereka untuk memperbaiki hidup terutama dalam pelajaran. Waktu malam adalah masa paling sesuai untuk mentelaah pelajaran, jadi aku akan pastikan semua adik-adik berada di meja untuk belajar bersama-samaku. Rutinnya aku akan membantu mereka sehingga lengkap kerja sekolah masing-masing. Kebiasaannya, mereka melaksanakan kerja-kerja sekolah dan ulangkaji pelajaran sehingga jam 11 malam. Selepas itu mereka akan masuk tidur, barulah aku mula belajar. Aku akan mentelaah sehingga jam 1.30 pagi. Itulah rutinku setiap hari. Disamping itu, aku selalu berpesan kepada adik-adik agar sentiasa belajar bersungguh-sungguh. Bagaimana untuk berjaya dalam hidup, semuanya terletak diatas usaha kita sendiri dengan izin Allah. Oleh itu teruslah berusaha kerana pasti Allah akan memberi tunjuk jalan untuk kita berjaya nanti.


Sekarang dengan keadaan ekonomi yang stabil aku bersyukur kepada Allah kerana telah memberi petunjuk kepada ku selama ini. Aku telah berjaya dalam hidup. Aku berkerjaya walau tidak sehebat jawatan Perdana Menteri namun aku tetap bersyukur kerana mampu membina hidup dengan IzinNya jua. Kakak sudah bersuami dan dia menjadi suri rumah yang solehah. Adik-adik turut bekerjaya. Masing-masing ada kehidupan sendiri. Manakala ayah telah meninggalkan kami lima tahun lepas, pergi untuk selama-lamanya. Namun aku tetap bangga menjadi anak ibu dan ayahku. Tanpa mereka aku tidak akan lahir ke dunia ini. Ayah dan ibu adalah wali keramatku. Al-fatihah untuk ayah dan ibu, semoga roh mereka ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang beriman dan para syuhadah.

1 Komentar untuk "Kopiah buruk bersulam sutera"

hidup adalah tentang pilihan, walau apa latarbelakang kita namun kita boleh ubah hidup mengikut apa yang kita nak corakkan..


Back To Top