Apa bestnya hari ini - Beritahu

Informasi segenap lapisan

Apa bestnya hari ini


Hari ini hari Jumaat. Jumaat Penghulu segala hari. Jumaat yang penuh kemuliaan dan keberkatan. Kisah Nabi Adam a.s dan Hawa keluar dari syurga pun terjadi pada hari ini. Nabi Adam dicampak ke bumi dalam keadaan bogel bersama pasangannya Siti Hawa. Terpisah jarak antara satu dengan yang lain. Nabi Adam a.s ke Pulau Serindik (Sarandib) atau sekarang dikenali sebagai Sri Lanka manakala Siti Hawa diturunkan di Jeddah. Mereka berpisah bertahun lamanya dan akhirnya bertemu di Jabal Rahmah. Ada hikmah mengapa Nabi Adam  dan Hawa dikeluarkan dari syurga. Jika tidak sudah pasti Firaun akan mengatakan dia dilahirkan di syurga juga. 



Iblis adalah punca Nabi Adam dan Hawa keluar dari syurga. Dia boleh berlakon pelbagai watak dengan aura tersendiri, malahan jauh lebih hebat dari lakonan Rosyam Nor, Nasir Bilal Khan dan Awie. Iblis yang pasti menjadi musuh utama kita di dunia telah berjanji akan menyesatkan Adam dan Hawa sehingga berjaya. Sebab itu turun ayat Allah agar mereka berdua berhati-hati dengan godaan iblis ini. Memang iblis musuh nyata manusia.

"Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita".

(Terjemahan Surah At-Thoha ayat 115-117)


Bermulalah kisah keturunan Nabi Adam a.s dan Hawa di dunia. Secara langsung kita semua terlibat sama. Zuriat membiak merata-rata tanpa henti dengan izin Allah. Kita pun termasuk antara mereka yang dikasihiNya untuk sama-sama menjadi pewaris Nabi Adam a.s. sehingga ke hari ini. Namun setiap yang lahir di dunia tidak semuanya sama. Lahir dengan pelbagai sifat dan sikap. Semuanya itu ada ujian dan dugaan dariNya. Maka dengan itu, Allah telah mengingatkan kita tentang kehidupan manusia di bumi ini.

"Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

(Terjemahan Surah Al-Baqarah ayat 36)


Memang benar apa yang kita inginkan di dunia ialah kebahagiaan. Sebaik-baiknya biarlah kebahagiaan yang kekal abadi hingga ke syurga. Oleh itu, Allah telah menerima taubat Nabi Adam a.s. Allah yang Maha Penerima Taubat hamba-hambaNya, Allah yang sentiasa Maha Mendengar dan Maha Mengetahui serta Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali ke pangkal jalan. Jadi, kita pun hendaklah sama-sama ke arah itu iaitu ke arah meraih syurga abadi. Contohi bapa kita, Nabi Adam a.s. Semua manusia tidak lari dari melakukan dosa, sebab itu kita hendaklah sentiasa minta ampun dariNya. Setiap doa, sentiasa utamakan minta ampun dariNya. Doakan untuk keampunan diri, ibu bapa, keluarga, guru, saudara mara dan seluruh umat Islam. Bagi yang telah pergi, doakan semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang beriman dan para syuhadah.

"Kami berfirman lagi: Turunlah kamu semuanya dari Syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita".

(Terjemahan Surat Al-Baqarah Ayat 38)

Bukanlah aku di sini yang terbaik untuk diikuti, tetapi sekurang-kurangnya aku menulis adalah untuk mengingatkan diriku sendiri, jika ada yang baik, kalian ambillah, andai tidak, lupakanlah sahaja dan janganlah disimpan didalam hati. Bak kata pantun "Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati".

Mahu atau tidak sekeliling kita sentiasa ada sahaja berita yang baik dan kurang menyenangkan untuk kita dengari. Kisah pendatang asing yang saling bunuh-membunuh sekarang ini sudah menjadi virus di Malaysia. Hari ini sahaja kisah pendatang asing Myanmar membunuh rakan sendiri masih terjadi lagi. Hanya kerana cemburu dan diganggu, habis semua dibunuhnya. Senang sahaja bunuh orang, sudah tiada erti perikemanusiaan sesama manusia lagi. Pendatang asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki pada mulanya tetapi telah terpesong untuk melakukan pelbagai kegiatan jenayah. Apa puncanya? Sudah tentu iblis dan syaitan puncanya. Tapi Malaikat Izrail minta dari Allah agar ia tidak disebut sebagai punca untuk tugasnya mencabut nyawa manusia.



Di Yahoo Malaysia dan Google Malaysia, trend terkini kes liwat Anwar Ibrahim tetap menjadi pojaan hatiku. Sentiasa panas dan kekal di carta paling lama, seingat aku sudah empat bulan menjadi juara carta Yahoo Malaysia. Bila hendak selesai pun, tidak diketahui. Namun dengan izin Allah, aku tidak berada di mana-mana pihak, cuma mendoakan agar keadilan dan kebenaran akan terbukti jua akhirnya agar bala tidak ditanggung oleh kita semua.


Hari ini walau sedih bagaimana pun, aku turun ke halaman rumah dengan penuh semangat, maklumlah semalam punya cerita masih segar untuk dikongsi bersama, Malaysia vs Vietnam yang berkesudahan kemenangan milik Harimau Malaya untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014 nanti. Di perlawanan akhir, Malaysia vs Thailand. Rujuk sini.



Jadi semangat untuk melatih beberapa orang anak buah dengan sedikit ilmu main bola yang ada ku mulakan. Ala-ala Jurulatih Dollah Salleh, aku pun tunjukkanlah teknik bagaimana menendang bola serta membuat hantaran jauh dengan tepat. Memang tidak sehebat mana pun tapi berjaya mendapat tepukan dan sorakan 12 daripada para pemain cilik yang ada. Puas dan gembira sejenak menenggelamkan pelbagai kesedihan dan masalah yang bersarang dalam kepala ini. Hasil pembelajaran hari ini benar-benar membuka minda kepada pemain cilik ini untuk belajar cara membuat hantaran bola yang tepat dan jauh kepada kawan. Sebelum habis sesi latihan bola sepak, sempat aku berpesan kepada para pemain cilik ini agar sentiasa menutup aurat terutama ketika bermain bola sepak dan contohi pemain bola sepak veteran Harimau Malaya seperti Indra Putra Muhyiddin. 


Akhir kalam, azan Jumaat berkumandang, sudah tiba masa solat Jumaat di masjid untuk ditunaikan. Seruan azan menanda masuknya waktu solat Jumaat bagi kawasanku dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya, sekian terima kasih. Jom bersolat.
1 Komentar untuk "Apa bestnya hari ini"

Admin izin promo ya ^^
Yuk join sekarang dan pasang taruhan mu hanya di i0nqq*c0m
WA : +855 1537 3217 *Sedia deposit pulsa juga (min 25rb)


Back To Top