Bagaimana Piala AFF Suzuki 2014 mempengaruhi Maggi ku - Beritahu

Informasi segenap lapisan

Bagaimana Piala AFF Suzuki 2014 mempengaruhi Maggi ku


Ini kisah yang inginku kongsikan bersama pada hari Ahad yang lalu. Perkara rutin yang biasa aku lakukan apabila menunggu siaran langsung perlawanan bolasepak yang ditunggu-tunggu, Piala AFF Suzuki 2014, Malaysia vs Vietnam

Dulu semasa belajar di universiti, aku selalu tengok English Premier League secara online, tapi sekarang umur semakin meningkat, semangat patriotik terhadap pasukan bolasepak tempatan semakin membuak-buak minatnya pula. Lihat sahaja pasukan-pasukan dalam Liga Super. Sekarang ini, ramai awang import yang berkualiti dalam pasukan negeri dan kelab tempatan. Secara tidak langsung telah menarik minat ramai penyokong pasukan masing-masing untuk ke stadium bolasepak menyaksikan pasukan mereka mempersembahkan permainan yang menarik secara tidak langsung telah menaikkan semangat kenegerian dan kelab sehingga sampai ke tahap die hard fan. Bak kata pepatah Astro Arena 801, Tanpa sorakan 12, siapalah mereka. 


Berbalik kepada kisah Malaysia vs Vietnam tadi, dalam keadaan menunggu dengan penuh kesabaran itu, sempat sejenak aku memikirkan apa hendak ditulis dalam artikel baru hari ini. Berdebar menunggu perlawanan bolasepak secara langsung Malaysia vs Vietnam ini. Dalam fikiran berlegar-legar memikirkan, apakah Harimau Malaya dibawah kendalian Jurulatih Dollah Salleh mampu mengatasi Vietnam malam ini? Bagaimana mengawal bola dengan baik apabila mengetahui kelebihan permainan taktikal dan kepantasan bermain bolasepak lebih berpihak kepada pasukan Vietnam? Pendek kata, mampukah Malaysia mengatasi Vietnam dengan jaringan dan bekalan yang selesa pada malam ini?



Apa yang difikirkan tadi semuanya berlaku secara spontan. Malam yang penuh debaran itu tiba-tiba perut pula buat hal, 'perut berkeroncong' memberi isyarat kepadaku. Baruku sedar, yang aku belum makan malam lagi. Bunyi perut dengan hints lebih dua tiga kali mengingatkan aku mengenai perut yang lapar perlu diisi segera. 

Memang dah menjadi rutin, aku akan cuba makan malam selewat-lewatnya sebelum jam 8, ini petua dan nasihat doktor andai ingin menjaga kesihatan jantung yang sihat, hendaklah mengamalkan pemakanan mengikut masa yang telah ditetapkan.


Aku pun ke dapur dan melihat apa yang boleh dimakan malam ini. Maklumlah orang bujang, dapur tak berasap dah menjadi kebiasaan. Semua nampak kering sebab sinki pun aku jarang guna. Dalam masa yang semakin suntuk menunggu siaran langsung perlawanan bolasepak Malaysia vs Vietnam ini, aku tiada pilihan lain, sambil menyanyi lagu tema, Mi Maggi cepat dimasak, sedap dimakan, aku pun menyambar sebungkus mi segera Mi Maggi perisa Tom Yam untuk dimasak. Biasalah nak cepat, aku pun panaskan air dalam periuk kecil di atas dapur dengan nyalaan api yang kuat. Terus menerus aku menyanyi lagu Mi Maggi cepat dimasak, sedap dimakan. Em. aromanya menusuk kalbu. Tidak sampai 5 minit, Mi Maggi pun sedia dihidangkan bersama telur rebus dan bawang goreng garing, baunya sangat menyelerakan. 


Aku tidak menunggu lama, selepas ku tuang mi segera ke dalam mangkuk kaca dan mengisi susu segar ke dalam segelas kaca, terus aku berlari ke ruang tamu berhadapan dengan tv plasm 42 inci jenama Samsung. Apa lagi, memang tepat masanya, sepak mula pun bermula, Malaysia vs Vietnam.

Memanglah aku sangat fanatik apabila menyaksikan perlawanan langsung di kaca televisyen, kalau tidak takkanlah aku beli banyak cenderamata Harimau Malaya seperti Jersi Bolasepak Harimau Malaya berwarna biru dan kuning (2 jenis). Siap letak dalam almari untuk dipamerkan kepada tetamu nanti. Pendek kata, aku bangga menjadi penyokong setia Harimau Malaya ini.

Dua perkara yang akan berlaku semasa menonton siaran langsung ini, jeritan kegembiraan (laungan gol) dan jeritan ketakutan (adoi / alamak). Memang 90 minit ini sangat thrilled. Mana tidaknya serangan bertali arus pasukan lawan menyebabkan jeritan ketakutan lebih berkumandang berbanding jeritan kegembiraan. Tiap kali kubu pertahanan dibolosi lawan, aku jadi kaget dan takut. Tapi tiap kali Harimau Malaya dapat peluang menjaringkan gol, sebaliknya pula perasaan ini. Aku cuba makan mi segera yang aku masak tadi, tapi fokus kepada siaran langsung perlawanan bola sepak malam ini sukar untuk aku menelan Mi Maggi ini. Kalau sekali suap, nak hadamkannya pun ambil masa yang lama, kunyah pelan-pelan. Sekali sekala ku hirup kuahnya dengan mata yang tak putus-putus bersekengkang mata melihat tv Samsung dengan penuh khusyuk.

Separuh masa pertama tamat dengan kegembiraan apabila Malaysia mendahului Vietnam, 1-0 hasil sepakan penalti oleh Syafiq Rahim. Masa inilah aku habiskan Maggi Tom Yam ku ini sambil memicit-micit Smartphone Samsung  membalas mesej dalam Wechat kepada kawan-kawan tanda kegembiraan.

Mula sahaja babak kedua, aku kembali khusyuk. Macam biasalah menonton sambil menghirup kuah Maggi sekali-sekala. Kali ini, perlawanan nampak lebh mencabar. Pasukan Vietnam menyerang ke kubu pertahanan Harimau Malaya tak henti-henti. Ke kiri, ke kanan, tengah dan belakang, ada sahaja pemain lawan. Pendek kata kali ini Vietnam benar-benar ingin mengajar kita cara permainan yang sebenarnya. Ternyata ianya berhasil apabila Vietnam berjaya mengikat Malaysia dengan jaringan pada minit ke 60 (kalau tidak silap aku), 1-1. Kecewa sekejap sambil menghirup kuah Maggi tadi. 


Perlawanan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling serang-menyerang diantara satu sama lain. Aku melihat dengan kekhusyukan tanpa berkedip mata. Sehingga pada suatu saat, di mana Vietnam cuba mendapatkan gol kedua, penyerangnya dapat melepasi dua tiga orang pertahanan Harimau Malaya dan akhir sekali membuat sepakan lengkung ke sebelah kiri gawang Malaysia, menyebabkan Khairul Fahmi Che Mat melompat untuk menyelamatkan sepakan itu tetapi gagal. Di saat itulah suapan sudu yang penuh dengan kuah Maggi yang sedang ku hirup itu 'terkejut' lalu menyinggah ke mataku. Ini gara-gara jeritan ketakutan yang aku laungkan yang menyebabkan tanganku spontan bertindak balas di atas kegagalan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan gol yang menembusi gawang Malaysia itu tadi. 

Aduh, aku kesakitan. Meraba aku sekejap apabila kedua mata ku terkena kuah Maggi tersebut. Meraba-raba aku dibuatnya sehingga aku tertepis mangkuk Maggi lalu jatuh ke lantai dan berkecai. Aku pun pantas berlari ke bilik air berdekatan, sambil mengaduh kesakitan. Air biasa tidak dapat memulihkan pandanganku, terpaksa guna sabun mandi lalu ku sental terus ke mata. Memang pedih tapi tidaklah sesakit kuah Maggi Tom Yam itu. 

Setelah 5 minit aku berhempas pulas menyucikan mataku dengan air dan sabun, barulah aku keluar dari bilik air dengan leganya walaupun masih ada terasa sedikit pedih lagi. Penat dan letih bertarung tadi. Sudahlah Vietnam menang ke atas Malaysia 2-1 , aku pula mendapat malang. 



Aku pun rasa kecewa malam ini. Kekecewaan aku terasa ditambahi dengan tragedi kuah Maggi tumpah ke mata. Satu pengajaran buat diriku. Lain kali kalau hendak melakukan sesuatu kerja itu biarlah fokus 100%. Tiada  peribahasa sambil menyelam, minum air di sini. Yang penting untuk melakukan sesuatu perkara itu, berikanlah tumpuan sepenuhnya agar keberhasilannya dapat dirasai dengan penuh kepuasan walaupun pada malam itu, Malaysia tewas kepada Vietnam 1-2

Diharap pada perlawanan timbal balik separuh akhir kedua pada 11 Disember 2014, Khamis jam 7.50 malam di Hanoi Vietnam, Harimau Malaya mengatasi Vietnam dengan jaringan gol dan agregat yang besar, Amin. 

InsyaAllah siaran  langsung perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Vietnam vs Malaysia dapat diikuti di TV9 dan Astro Arena 801.
1 Komentar untuk "Bagaimana Piala AFF Suzuki 2014 mempengaruhi Maggi ku"

Lagi ngearasa ada hoki?
ayo coba mainkan kartu mu disini i0nqq*c0m
Bisa dp via pulsa juga (min 25rb)


Back To Top