Ngaum Harimau Malaya longlai di Hanoi - Beritahu

Informasi segenap lapisan

Ngaum Harimau Malaya longlai di Hanoi


Malaysia tidak mampu membawa pulang tiga mata penuh setelah mengalami kekalahan kedua berturut-turut semalam di tangan Vietnam 1-0. Ini melebarkan rekod kekalahan Harimau Malaya sebanyak 12 perlawanan di tangan Vietnam.


Vietnam memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri di Stadium My Dinh, Hanoi semalam dengan jaringan gol tunggal perlawanan oleh Nguyen Quang Hai pada minit ke 40. Namun Malaysia terlebih dahulu hampir menjaringkan gol apabila tendangan percuma Safawi Rasid ke gawang gol lawan, gagal disudahkan oleh NorShahrul Idlan (Mat Yo).


Vietnam yang berada di kedudukan ke-99 dunia telah berjaya menyekat dan mengunci pergerakan Mat Yo dan Mohamadou Sumareh sepanjang perlawanan. Matthiew Davies sekali sekala naik ke atas namun hantarannya ke kawasan D lawan dapat dipatahkan dan sia-sia.


Permainan pantas dan jitu Vietnam telah memaksa penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias untuk bekerja keras untuk menidakkan setiap percubaan lawan. Vietnam seolah-olah bergerak dalam satu unit dan sentiasa bergerak pantas untuk menjaringkan gol.


Namun corak permainan Vietnam di babak kedua perlawanan nampak perlahan dan disiplin serta taktikal bertahan mereka tidak mampu dirobek oleh Harimau Malaya.


Ini merupakan kekalahan kedua Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023. Terdahulu UAE menewaskan Malaysia 2-1 di gelanggang sendiri.


Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya melupakan kekalahan di Hanoi dan memberi fokus kepada dua perlawanan selepas ini di tempat sendiri iaitu menentang Thailand pada 14 November dan Indonesia pada 19 November.


Malaysia diundi dalam kumpulan G bersama-sama UAE, Vietnam, Thailand dan Indonesia, setakat ini menghuni tangga keempat di belakang Thailand dengan 3 mata. Kejayaan sulung Harimau Malaya terhadap Indonesia dengan kemenangan 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno.

Ayuh bangun Harimau Malaya.


0 Komentar untuk "Ngaum Harimau Malaya longlai di Hanoi"


Back To Top