Ketahui khairat kematian yang boleh dituntut untuk si mati - Beritahu

Informasi segenap lapisan

Ketahui khairat kematian yang boleh dituntut untuk si mati




-----------------------------------------------------------------------------------

Sesiapa sahaja yang meninggal dunia akan menjadi tanggungjawab setiap yang hidup. Mereka yang hidup mestilah membantu menggalas tugas mengebumikan jenazah sehingga ke liang lahat. Namun semua itu memerlukan tenaga dan kos untuk diselenggarakan dengan sempurna.

Sila ambil perhatian kepada pewaris, sekiranya kematian melanda keluarga kita, langkah pertama ialah mengetahui adakah jenazah tersebut mempunyai khairat kematian semasa hidupnya?


Berapa kos menguruskan jenazah?

Pewaris seperti suami/isteri, anak, cucu, datuk, nenek, adik-beradik, ibu atau bapa saudara atau pihak menguruskan si mati berhak mengetahui perkara ini. Untuk menguruskan jenazah si mati memerlukan kos kain kapan (lebih kurang RM250), mandi jenazah (lebih kurang RM200), gali kubur (lebih kurang RM500), bacaan talkin (lebih kurang RM100) dan kos kenderaan menghantar jenazah ke tanah perkuburan (lebih kurang RM100). Namun anggaran kos di atas berbeza di setiap kawasan.

Baiklah untuk tujuan khairat kematian tersebut, sila semak tempat tuntutan khairat kematian berikut, adakah si mati layak menerima khairat kematian berikut atau tidak, seperti :-


1. Khairat kematian Masjid

Lebih kurang RM500-1000. Syaratnya si mati mestilah menjadi ahli sebelum meninggal dunia.


2. Khairat kematian ASB/ASB

Ramai yang tidak mengetahui hak mereka untuk mendapatkan khairat kematian melalui simpanan ASNB ini. Kelayakan untuk khairat kematian ASNB ini ialah :-

i. Simpan RM10-4999, khairat kematian sebanyak RM200.
ii. Simpan RM5000-10 000, khairat kematian sebanyak RM1000.
iii. Simpan RM10 000-100 000, khairat kematian sebanyak RM2000.

Waris boleh tuntut khairat kematian dalam masa 6 bulan selepas kematian pemegang akaun.


3. Khairat kematian Bayaran Sara Hidup (BSH)

Khairat kematian BSH juga dikenali sebagai Skim Khairat Kematian (SKK) boleh menuntut sebanyak RM1000. Cara tuntut khairat kematian BSH ialah :-


  1. Si mati adalah penerima bayaran BSH yang telah meninggal dunia mulai 1 Februari 2019
  2. Nama waris telah didaftarkan oleh si mati dalam bahagian maklumat waris semasa melengkapkan borang BSH 2019 (dilengkapkan dari 1 Februari - 15 Mac 2019). Sila rujuk tarikh tuntutan seperti gambarajah di bawah.
  3. Penerima kategori individu tidak layak untuk tuntut.



Bagaimana menuntut Skim Khairat Kematian BSH?

Pewaris bolehlah menuntut SKK ini di cawangan Bank Simpanan Nasional. Sila bawa sijil kematian asal atau salinan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kad pengenalan asal waris dan dokumen pembuktian antara penerima dan waris.


4. Khairat kematian Perkeso

Layak menuntut RM2000 dengan syarat si mati adalah ahli atau pernah mencarum di PERKESO.


5. Khairat kematian Bank Rakyat

Syarat kelayakan untuk memohon ialah si mati mempunyai akaun bank/saham bank rakyat. Sekiranya mempunyai kad emas bank rakyat, khairat kematian yang boleh dituntut adalah sebanyak RM1000.



6. Bantuan Mengurus Jenazah JPA

Boleh memohon dengan syarat berikut :-

  1. Si mati adalah pesara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun, kerajaan tempatan atau pesara skim KWSP yang telah meninggal dunia pada 15 Oktober 2010  atau selepas tarikh tersebut.
  2. Boleh dituntut oleh pewaris si mati seperti balu/duda, anak, ibu/bapa, ahli keluarga atau pihak yang menguruskan jenazah (surat akuan sumpah perlu disertakan sekali).

Bagaimana cara memohon bantuan mengurus Jenazah JPA?

Sila isi borang permohonan di bawah berserta dokumen sokongan dialamatkan kepada :-

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen)
Aras 2-5, Blok C2, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 W. P. Putrajaya
Malaysia.

Borang Permohonan Bantuan Menguruskan Jenazah (BMJ), KLIK DI SINI.
Surat Akuan Bersumpah, KLIK DI SINI


Cara bayaran khairat kematian JPA adalah melalui waran atau kredit bank.


7. Khairat kematian KWSP

Sekiranya si mati adalah pencarum KWSP, secara automatiknya pewaris boleh memohon bantuan khairat kematian KWSP si mati sebanyak RM2500. Sila buat tuntutan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli tersebut.

Syarat kelayakan memohon :-

  • Ahli yang telah meninggal dunia adalah Warganegara, Penduduk Tetap (PR) dan Bukan Warganegara (yang mendaftar sebelum 1 Ogos 1998).
  • Si mati belum mencapai 60 tahun dan masih mempunyai simpanan KWSP.


8. Khairat kematian Skim Takaful

Syarat kelayakan memohon ialah sekurang-kurangnya menunjukkan permit pengebumian si mati dan dokumen yang mengesahkan hubungan pewaris dan si mati. Bagi si mati yang menyertai Skim Pinjaman Perumahan Sektor Awam mulai 3 Januari 2018, bayaran khairat kematian kepada pewaris yang dinamakan si mati adalah sebanyak RM2000.


9. Khairat kematian Persatuan Berdaftar/NGO/Koperasi

Sila semak sama ada si mati ada/pernah menganggotai persatuan / NGO / koperasi. Kebiasaannya khairat kematian di antara RM500-5000.


10. Khairat kematian Pembayar Zakat

Melalui Skim Kafalah Muzakki (SKM), pewaris boleh menuntut khairat kematian pembayar zakat si mati sebanyak RM3000 dengan kelayakan berikut :-

  • Si mati mestilah pembayar zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan PPZ-MAIWP.
  • Pembayaran zakat bermula tahun 2019
  • Minima zakat RM50 setahun oleh si mati dan mempunyai rekod bayaran zakat setahun sebelum kematian.
  • Bayaran zakat adalah tertakluk kepada Zakat Harta sahaja.


11. Khairat kematian Ahli RELA

Sila pastikan sama ada si mati adalah ahli RELA atau tidak. Sekiranya tidak pasti, pewaris boleh menyemak status keahlian si mati melalui SMS. Sila taip KDN KADRELA<jarak>No.MyKad dan hantarkan ke 15888. Contohnya KDN AHLIRELA 761122085765

Sila berhubung dengan pihak pengurusan RELA ditempat anda untuk memohon khairat kematian ahli RELA tersebut.


Apakah dokumen pertalian?

Sijil Nikah, Sijil lahir, Kad Pesara atau dokumen rasmi kerajaan yang menunjukkan pertalian antara si mati dan waris.


Bagaimana nak tuntut khairat kematian?

Secara am untuk tujuan tuntutan khairat kematian ini, sila bawa bersama sijil kematian si mati, dokumen pertalian pewaris dan si mati, salinan kad pengenalan pewaris, surat akuan sumpah pihak menguruskan jenazah (jika berkaitan) dan lain-lain lagi.


Baiklah diharap khairat kematian di atas dapa dimanfaatkan sepenuh oleh pewaris atau pihak yang menguruskan jenazah si mati tersebut. Selain sebagai ganti untuk bayaran menguruskan jenazah, ia boleh digunakan untuk membayar hutang si mati, umrah (jika cukup) dan lain-lain lagi. Semoga kita yang menguruskan hal ini mendapat ganjaran yang setimpal dengannya.

1 Komentar untuk "Ketahui khairat kematian yang boleh dituntut untuk si mati"

Ayo kunjungi Update Bettin9 dan daftarkan diri Anda
deposit, mainkan dan menangkan taruhannya (WA +855 979 542 957)


Back To Top