Seronok dapat berjalan-jalan. Pendek kata jauh berjalan, luas pengalaman. Baki cuti persekolahan yang masih tinggal sisa-sisa lagi ni, apa salahnya jom bercuti ke utara tanah air. Utara yang penuh gunung-ganang dan tempat menarik untuk dikunjungi.
Destinasi pelancongan yang menarik kali ini ialah ke Taiping. Ia terletak di utara Kuala Kangsar. Jauh perjalanan Ipoh ke Taiping mengambil masa tidak sampai satu jam. Laluan Lebuh raya Utara Selatan adalah jalan pintas terpantas. Ikut jalan lama dari Ipoh ke Taiping pun boleh tapi mengambil masa yang lama kerana mesti melalui Sungai Siput dan Kuala Kangsar. Maka Lebuh raya Utara Selatan adalah pilihan terbaik bagi penjimatan masa anda.
Perjalanan yang tidak dirancang, beginilah rupanya. Apabila datang mood nak berjalan tu, dah tak kira masa, terus packing beg pakaian dan bergegas pergi. Kalau pukul 3.00 petang terlintas nak pergi, kejap itulah baru packing beg baju. Em alahai biasalah orang bujang.
Aku bertolak dari rumah dan sampai di Ipoh pada jam 4.30 petang, hujan lebat waktu itu. Sepanjang jalan banyak kali kena percikan air di cermin kereta. Mujurlah ada cermin kalau naik motorsikal, entahlah nak kata, menangis tak berlagu kebasahanlah jawabnya.
Aku memintas dari jalan Kampar - Gopeng masuk Lebuhraya Utara Selatan melalui Tol Simpang Pulai. Sememangnya masa ini di tol tersebut, laluan sesak dengan lori dan kereta lain yang ingin memasuki lebuh raya. Alhamdulillah, mujur kad touch n go masih berbaki RM32.00 lagi. Kalau tidak, kenalah beratur ikut lorong manual. Semuanya dipermudahkan olehNya. Kereta aku dapat memasuki Lebuhraya Utara Selatan dengan cepat.
Perjalanan dari Ipoh ke Taiping sedikit mencabar. Ini kerana aku terpaksa melalui jalan berbukit-bukau, bergunung-ganang dan bersimpang-siur lagi curam dan menggerunkan. Laluan yang getir adalah di antara lebuh raya Ipoh - Kuala Kangsar. Di sini terdapat satu-satunya terowong di Lebuh raya Utara Selatan yang mesti dilalui oleh semua pengguna lebuh raya yang ingin meneruskan perjalanan ke utara. Kawasan ini penuh dengan bonggol dan peringatan seperti garisan merah melintang di laluan yang kerap berlaku kemalangan. Maka di tempat-tempat tersebut, aku akan memperlahankan kenderaan bagi tindakan waspada, maklumlah malang tidak berbau.
Aku keluar ke Tol Changkat Jering. Di sini waktu itu jam telah menunjukkan lebih kurang 5.30 petang. Dengan ingatan yang kosong, aku terus keluar dari lebuhraya lalu menyusuri laluan Changkat Jering untuk ke Bandar Taiping. Hujan masih turun dengan lebatnya. Sekali-sekala terpaksa tekan butang kecemasan kerana pandangan menjadi sukar. Tapi ada juga kereta yang tidak menyalakan lampu, in menyebabkan pemandu kereta di belakang terpaksa brek dan lebih berwaspada. Kita sentiasa berprasangka baik, jangan mudah melatah agar kesilapan orang lain dapat dikesan untuk mengelakkan pertembungan dan kemalangan sebaik mungkin.
Aku masuk ke Bandar Taiping dengan penuh berhati-hati, maklumlah jalan licin dan sesak dengan kenderaan lain. Di bandar, laluan sedikit sempit kerana kiri kanan banyak bangunan bersejarah, maklumlah Taiping bandar warisan. Memang banyak bangunan yang sukar kita temui lagi masih tersergam indah di Taiping. Siap cat warna-warni untuk menampakkan pembaharuannya. Sememangnya kerajaan Negeri Perak telah mengazetkan Taiping sebagai bandar sejarah. Ini kerana ia telah menjadi salah satu pusat pemerintahan sejak zaman dahulu lagi termasuklah sebagai pusat pemerintahan British kerana kemahsyuran lombong bijih timah. Maka tidak hairanlah suasana lama dan tenang masih segar diingatan orang-orang lama. Bagi generasi muda, dengan melihat arca dan tinggalan orang dahulu dapat mengingatkan kita tentang kepayahan orang Melayu dahulu memperjuangkan kemerdekaan tanah air kita ini.
Baiklah aku sebenarnya sedang mencari tempat penginapan. Jam sudah pukul 6.30 petang, tapi aku tiada idea nak menginap di mana. Jadi dipendekkan cerita, redah punya redah, sampailah aku ke Tune Hotels yang tidak diduga. Ingatkan nak menginap di kaki lima sahaja. Alhamdulillah, ada juga kemudahan penginapan Tune Hotels ini di Taiping rupanya. Ia terletak di Jalan Istana Larut, Taiping.
Bilik untuk seorang boleh dikatakan ekonomi. Maka tidak hairan, ia menjadi hotel penginapan pilihan ramai. Harga bilik single untuk semalam hanya dalam RM100++, murahkan? Kalau duk fikir mahal, letihlah mencari hotel lain sebab masa waktu solat Maghrib dah hampir, solat Asar belum lagi buat. Aku dah niat jamak takhir, jadi Zohor dan Asar belum dilaksanakan lagi. Jadi dengan secepat mungkin aku terus ke bilik melalui lif. Awal-awal masuk lif, kat sini dah jem sebab lif tak mau gerak. Puas aku tekan butang dan sentuh kad bilik tapi tak gerak-gerak lagi lifnya, em alahai. Setelah lebih kurang lima minit memerah idea, akhirnya berjaya juga naik ke tingkat 12, iaitu tingkat paling tinggi dalam Tune Hotels Taiping.
Sesampai di bilik, sememangnya seperti dalam gambar ditunjukkan. Serba-serbi baru dan menarik. Apa lagi aku terus bersedia untuk menunaikan solat dan seterusnya tidur kepenatan.
Malam itu aku tidak tidur terus. Jam 9.00 malam aku terjaga kelaparan. Tidak jauh dari Tune Hotel ada Tesco, Taiping Shopping Mall dan AEON. Pilihlah destinasi makan malam anda. Malam itu aku pilih AEON kerana di sana InsyaAllah ada Auntie's Ann, kedai roti kegemaranku.
Lepas makan di AEON, aku terus meluncur masuk ke bandar Taiping. Kenangan silam berulang kembali. Aku ingat tempat ini adalah titik pertemuan aku dengan seseorang yang pernah kukenali dahulu, tapi kini entah di mana. Sewaktu di SMK Anderson, aku adalah antara atlet harapan. Setelah terpilih menyertai Tunas Cemerlang Perak waktu itu, aku akan ke Pusat Latihan Telekom yang terletak tidak jauh dari Zoo Taiping. Di sini semua atlet Tunas Cemerlang Perak berkumpul dua kali setahun untuk beradu tenaga dalam acara Heptathalon. Alhamdulillah nasib sentiasa menyebelahiku yang sentiasa dapat nombor satu. Di waktu itulah, saham naik. semuanya jadi perhatian. Sehingga waktu yang tidak dirancang, aku keluar dengan atlet-atlet lain seperti bersaudara, ada Melayu, India, Cina dan Sikh. Dalam ramai-ramai ini ada seorang atlet wanita Cindia (kacukan Cina India). Sememangnya hatiku sentiasa berkata benar. Bukan aku yang suka tapi secara tidak langsung, dia memulakan dahulu. Tapi tidaklah kurasakan sangat. Jumpa sekali-sekala, tiada komunikasi telefon sebab aku tinggal di asrama, masakan boleh bertemu jodoh, ya gitu. Tapi memang seronok apabila aku sentiasa perasan ada peminat, apa lagi, larian menjadi kencang, balingan menjadi terjauh, lompatan tinggi melepasi angkasa seolah-olah semuanya terasa hebat walau sebenarnya tidak sehebat mana pun. Pendek kata, tonik yang ku dapat sangat mujarab sehingga menjadikan aku sentiasa menjadi peserta Tunas Cemerlang terbaik peringkat Negeri Perak.
Dua jam puas pusing Bandar Taiping, jam satu aku terus balik dan tidur. Tidur dengan lena kepenatan dan penuh ketenangan.
Esok pagi-pagi aku sudah bangun. Subuh sentiasa dihati. Laksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kewajipan sebagai seorang Muslim. Lepas itu tidur sekejap. Jam 9.00 pagi aku terus daftar keluar Tune Hotels, ucapan terima kasih kuucapkan kepada Tune Hotels kerana tumpang berbayar menginap di dalammu semalaman.
Aku tidak membuang masa, singgah di mana-mana warung kopi, order roti canai sekeping kuah banjir, dua biji telur ayam separuh masak dan secawan teh tarik F&N kegemaran ramai. Alhamdulillah alas perut. Destinasi seterusnya ke Zoo Taiping. Dengan bayaran parking kereta RM3, anda boleh meletakkan kereta anda di dalam kawasan berhampiran Zoo Taiping.
Zoo Taiping merupakan zoo tertua di Malaysia. Ia telah dibuka pada tahun 1961 dengan keluasan 14 hektar. Ia terletak di Jalan Taman Tasik Taiping. Di sini terdapat banyak binatang seperti harimau belang, singa, buaya, gajah, zirafah, ular, kuda belang, rusa, kancil dan lain-lain lagi. Semua ada di sini. Seronok tidak terkata apabila melihat mereka di dalam sangkar. Kalau di luar sangkar dah tak seronoklah pula.
Selepas itu aku terus ke Maxwell Hill, gelaran bagi Bukit Larut. Tiada apa menarik cuma ada tempat penanaman benih dan semaian agro dan tempat mandi air terjun.
Aku tidak menunggu lama, kali ini perut sudah mula berkeroncong, selepas menunaikan solat zohor asar secara jamak, aku mengingati Port Weld. Dalam bahasa Melayu dikenali sebagai Kuala Sepetang. Tempat ini terletak 10 kilometer dari Taiping. Pendek kata ia terletak di sebelah kiri dari tol keluar Taiping.
Aku tidak pernah datang ke sini. Orang kata kalau hendak rasa mee udang tersohor di sinilah tempatnya. Ye Kuala Sepetang terkenal dengan Mee Udang Kuah Banjir. Udang besar yang segar dipetik dari ladang, ops dikutip dari laut.
Sepanjang jalan banyak papan tanda mempromosi kedai makan masing-masing seperti Mee Udang Corner, Mee Udang Mak Teh, Mee Udang Mak Jah dan lain-lain lagi. Dalam banyak-banyak kedai mee udang tadi, aku pun landing di Warung Mee Udang Mak Jah. Di sini disediakan tempat letak kereta. Maklumlah, kedai makannya besar. Macam khemah kenduri kahwin yang dibuka lebih dari 10 khemah (agak-agak saja). Harapan tinggi menggunung agar kedai pilihan ini benar-benar sedap keberhasilannya.
Warung Mee Udang Mak Jah ini telah beroperasi di sebidang tanah kosong sejak 6 tahun lepas. Ia mempunyai lebih daripada 20 orang pekerja. Selain di sini, Mee Udang Mak Jah boleh didapati di cawangannya di Wangsa Maju di Jalan Wangsa Delima 10, Wangsa Maju Kuala Lumpur.
Aku duduk di meja tengah. Datang seorang pelayan wanita, senyum-senyum kambing sambil menghulurkan menu pilihan kepada aku. Boleh tahan harga semasa mee udang kuah banjir dengan pelbagai format ni. Ada Mee Udang Special, Mee Udang Ketam dan lain-lain lagi. Pilihan makanan laut lain pun ada. Pendek kata serba-serbi ada. Tanpa membuang masa, aku pun order Mee Udang Special dan segelas air susu halia panas.
Tidak sampai lima minit, tempahan pun sampai. Em marvelous, makanan terhidang sangat berbaloi. Mee Udang Special dihiasai 5 ekor udang besar-besar dihadapan anda. Rupa dan baunya sangat menawan kalbu. Apa lagi, dengan nafsu makan yang terhidang, mulakan dengan bismillah terus aku menyegerakan ibadah am ku dengan meratah udang besar kegemaran ramai. Walaupun sedang lapar, namun petua tetap diikuti. Ketika makan udang, pastikan makan kulitnya sekali. Bukan semua tapi bahagian badan udang sebelum kepala. Ini adalah lawan kepada asid urik yang bakal disedut ke dalam kaki kita nanti. Ia dapat meneutralkan sedikit sebanyak asid urik dalam badan bagi mengelakkan gout. Ikut sahajalah walaupun tidak mendapatkan khidmat nasihat doktor. Petua pun ada yang baik untuk diikuti.
Selesai makan aku terus bayar. Walaupun harganya sedikit kompetatif tapi berbaloi kerana rasa Mee Udang Special Mak Jah adalah terbaik yang pernah aku rasai, memang sedap dan Mee Udang Special 4 bintang aku anugerahkan untuk jalan-jalan cari makan kali ini.
Seperti petang semalam, hujan pasti turun kerana mendung dan gelap semacam suasana perjalananku. Aku dapat rasakan hujan lebat bakal turun sepanjang perjalanan pulangku ini. Tanpa membuang masa, aku bergegas ke kereta dan memacu pulang ke rumah. Alhamdulillah walau hujan lebat sepanjang jalan, namun kepuasan jelas terpancar di benak hatiku kerana destinasi pelancongan yang tidak dirancang ini berjaya membawa keriangan hingga aku tertidur senyum tak henti-henti malam itu.
0 Komentar untuk "Mee udang Kuala Sepetang"