Murid Tahun Satu 2021 buta huruf?? - Beritahu

Informasi segenap lapisan

Murid Tahun Satu 2021 buta huruf??

Jangan salah anggap mengenai murid tahun 1 sesi persekolahan 2021. Inilah cabaran yang dihadapi oleh mereka apabila melalui pengalaman pahit manis masuk kelas Tahun 1 sesi 2021, setaraf dengan abang dan kakak mereka di peringkat selanjutnya. Mereka mungkin boleh dikategorikan sebagai pelapis pertama yang akan melalui pengajaran dan pembelajaran dari rumah (pdpr) darjah 1.

Sesi persekolahan melalui fasa norma baru

Bayangkanlah anda pernah berada di Zaman Pemerintahan British dahulu. Pada waktu itu, pendidikan bukanlah pilihan utama British. Tujuan pendidikan yang dicanang British adalah untuk menyampaikan pendidikan sekunder kepada penduduk Tanah Melayu. Namun hakikatnya asalkan boleh membaca dan menulis, bolehlah diterima bekerjasama dengan British. Atas dasar itu, ramai anak tempatan ketinggalan dan tercicir dalam pendidikan kerana tidak mendapat tempat dihati penduduk Tanah Melayu ketika itu. 

Namun pendidikan terus berkembang setelah beberapa golongan Melayu yang mendapat pendidikan dari dalam dan luar negara sedar betapa pentingnya pendidikan pada masa itu.

Kini abad 21 seolah-olah kita mengalami fasa norma baru yang lebih kurang Zaman British, setuju? Mungkin akan wujud golongan tercicir atau buta huruf di tengah-tengah arus teknologi yang pesat membangun ini.


Murid tahun 1 mula belajar tanpa bersemuka dengan guru, iaitu kendiri

Setuju atau tidak, kena akur. Zaman pendidikan norma baru adalah disebabkan penstrukturan semula pendidikan selepas berlakunya gejala penyakit berjangkit Covid-19 yang berleluasa yang sukar dibendung. Atas sebab itu kerajaan sangat sensitif dengan penularan wabak Covid-19 ini dengan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyekat wabak ini untuk terus berleluasa.

Paradigmanya, buat kali pertama murid tahun 1 belajar dengan orang yang belum dikenali tanpa bersemuka iaitu melalui telefon pintar atau komputer. Mereka sentiasa bersemangat untuk memajukan diri, namun hakikat adakah mereka mampu bertahan untuk mendisiplinkan diri?

Ikhlasnya, pengajaran dan pembelajaran bersemuka adalah satu kepuasan bagi seorang guru. 


Ibu bapa jadi pemudahcara pdpr

Melihat situasi ini, peranan ibu bapa adalah sangat penting, terutama ibu. Golongan ibu ini pula terbahagi kepada 3 :

i.      Ibu berkerjaya ke pejabat sepenuh masa

ii.     Ibu bekerja dari rumah (BDR)

iii.    Ibu suri rumah sepenuh masa


Ibu berkerjaya sepenuh masa di pejabat atau di luar rumah akan sentiasa mengharapkan anak boleh melalui pdpr tanpa pemantauan 24 jam. Betapa ibu beranggapan anak boleh mengikuti kelas online setiap masa secara berdikari.

Anak terlebih dahulu yang terdedah dengan telefon pintar mungkin lebih senang untuk diuruskan kerana celik telefon pintar. Cabarannya, cuba bayangkan anak yang sudah terbiasa dengan aplikasi permainan di google playstore, Instagram, TikTok dan lain-lain aplikasi mengasyikkan ini boleh menjadikan mereka  ketagihan melampau. Waima, sanggup bersengkang mata sehingga ke pagi menghadap telefon pintar ini tanpa pengetahuan ibu bapa.

Sebagai ibu bapa, apa tindakan kita untuk memastikan anak benar-benar mengikuti pdpr secara online oleh guru yang belum pernah bersemuka di dalam kelas ini?

Ibu bekerja dari rumah (BDR) dan suri rumah sepenuh masa sekurang-kurangnya dapat  memastikan anak tidur dan bangun mengikut jadual sebagai seorang murid yang bersekolah. Di tengah-tengah kesibukan bekerja di waktu pagi, bolehlah dipantau sekali anak tersebut untuk sama-sama bangun dan bersedia untuk mengikuti sesi pdpr secara online

Sepatutnya anak mungkin boleh mengikut pdpr dengan baik, kekadang lepa boleh pula melayan sembang dengan kawan-kawan tapi masih boleh mendengar gurunya berceloteh melalui aplikasi zoom atau google meet. Sekurang-kurangnya dengan cara ini anak akan sentiasa mendisiplinkan diri untuk mengikuti pdpr secara online lebih terkawal. Namun sejauh mana keberkesanan pdpr tersebut sekiranya kurang fokus diberikan semasa pembelajaran online?


Peranan guru semasa pdpr 

Dalam bab ini guru harus mainkan peranan untuk menarik minat anak murid agar mampu memberi fokus kepada pdpr yang sedang dijalankannya. Dengan pelbagai jenis teknik, tidak mustahil boleh menarik minat anak murid 100% dengan pdpr yang sedang dijalankan.


Bagaimana nak tahu anak murid memberi fokus sepenuhnya semasa pdpr dijalankan?

Guru mesti wujudkan komunikasi dua hala dengan cara setiap beberapa detik boleh minta respon melalui chat tentang perkara yang sedang dibincangkan. Perlunya teknik-teknik maklum balas dua hala dikuasai agar guru tidak merasakan seolah-olahnya hanya 'syok sendiri'. Setidaknya apa yang ditanya guru, murid memberi jawapan sekurang-kurangnyaa, 'Em...',  ' Jap cikgu, saya fikir sat' dan lain-lain lagi.

Dalam hal cara menarik minat murid untuk mengikut pdpr secara online, terserah kepada kepakaran guru untuk memastikan apa yang diajar akan terkesan kepada anak muridnya nanti. 

Tidak semesti setiap pdpr berakhir dengan kerja rumah dan latihan. Guru boleh memberikan idea untuk anak murid menyampaikan pembelajaran mereka secara online sesama mereka. Ini nampak lebih efektif lagi. Sedang guru hanyalah pemudah cara sahaja.


Kesan pdpr

Kajian mendapati tidak semua murid dapat mengikuti pdpr secara online atau mengambil tugasan di sekolah. Murid yang duduk di kawasan yang sukar mendapatkan talian internet, mereka akan ketinggalan contohnya di pedalaman. Untuk urusan mengambil tugasan yang ditinggalkan di sekolah pula, adalah tidak dapat dilaksanakan setiap minggu kerana mungkin murid duduk jauh dari sekolah terutama yang tinggal di asrama sekolah. Ini akan menyebabkan mereka benar-benar tertinggal.

Oleh hal demikian akan wujud satu golongan tercicir yang hampir sama dengan buta huruf sekiranya permulaan persekolahan darjah satu bermula di rumah (BDR) ini memberi kesan negatif kepada diri murid sendiri. Ia hanya segelintir tapi masih boleh diatasi sekiranya ibu bapa boleh mainkan peranan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Walau jauh dari capaian internet atau jauh dari sekolah tapi ibu bapa mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pendidikan anak-anak, maka kuranglah sikit masalah ini.

Kewujudan golongan buta huruf atau keciciran ini boleh dihindari apabila ibu bapa boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia agar anak-anak sentiasa mendapat pengajaran dan pembelajaran berterusan di mana sahaja mereka berada. Seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memastikan murid mendapat pendidikan secara berterusan serta melahirkan mereka yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab serta memberi sumbangan kepada diri, masyarakat dan negara.

Sekian, sekadar pandangan.






-----------------------------------------------------------------------------------
1 Komentar untuk "Murid Tahun Satu 2021 buta huruf??"

Lagi ngearasa ada hoki?
ayo coba mainkan kartu mu disini i0nqq*c0m
Bisa dp via pulsa juga (min 25rb)


Back To Top